Tanggal 31hb Mei 2013, Sambutan Majlis Hari Guru Dan Anugerah Khidmat Kualiti Peringkat KMPP yang julung-julung kali diadakan, telah berlangsung di Dataran Pelajar, KMPP. Ia bertujuan meraikan tenaga pendidik yang telah banyak menabur bakti demi kecemerlangan anak didik dan juga kolej sendiri.
Setelah pelajar-pelajar, pensyarah dan staf mengambil tempat, majlis dimulakan dengan pergerakan masuk Pengurusan Tertinggi dan Ketua-ketua Unit. Ini diikuti dengan nyanyian Lagu “Negaraku” dan Lagu Negeri Pulau Pinang serta bacaan doa.
Selesai bacaan doa, semua barisan pensyarah berdiri untuk bacaan Ikrar Hari Guru diketuai oleh Pengarah KMPP, Tn. Hj. Ramli Bin Din.
Sambutan Hari Guru disempurnakan dengan nyanyian lagu “Kami Guru Malaysia” oleh pasukan koir yang terdiri daripada barisan pensyarah yang mewakili unit masing-masing.
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada wakil pelajar dan Tuan Pengarah KMPP. Menyusul kemudian ialah penyampaian cenderahati kepada pensyarah-pensyarah yang berpindah dan 2 orang pensyarah yang telah berjaya memamatkan pengajian di peringkat PhD. Seramai 70 orang pensyarah dan staf telah terpilih untuk menerima Anugerah Khidmat Kualiti KMPP 2013. Kesemua cenderahati dan anugerah telah disampaikan oleh Tuan Pengarah, Tn. Hj. Ramli Bin Din sendiri.
Setelah segala acara rasmi selesai, para hadirin telah dihiburkan dengan beberapa persembahan pelajar termasuk persembahan nasyid, nyanyian lagu pop oleh bekas pelajar KMPP serta sebuah tarian kebudayaan daripada salah sebuah sekolah yang terkenal di Pulau Pinang.
Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu KMPP yang penuh bersemangat daripada semua hadirin. Selesai nyanyian dan beberapa pengumuman penting yang dibacakan oleh pengacara majlis, para pensyarah serta staf KMPP bergerak menuju ke Dewan Al-Farabi untuk jamuan ringan.
Ucapan Tuan Pengarah, Tn. Hj. Ramli bin Din.
Bacaan ikrar Hari Guru diketuai oleh Tuan Pengarah.
Barisan koir yang terdiri daripada kalangan pensyarah menyampaikan lagu " Kami Guru Malaysia".
Penyampaian anugerah kepada salah seorang pensyarah yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Kedoktoran.
Antara persembahan pelajar pada hari tersebut.