Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih

perpisahanpengarah

KEPALA BATAS, 17 Februari 2021 – Seluruh warga matrikulasi, khususnya warga Kolej Matrikulasi Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas pelantikan Tuan Haji Rozaini bin Ahmad sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah berkuat kuasa 15 Februari 2021. Pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Datuk DR. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 16 Februari 2021.

Tuan Haji Rozaini bin Ahmad diraikan dalam majlis ringkas penuh bermakna dan beremosi pada 17 Februari 2021 dengan SOP yang ketat. Disamping itu, siaran langsung menerusi aplikasi Google Meet turut diadakan untuk membolehkan lebih ramai yang dapat menyaksikan majlis ini. Majlis sepi seketika apabila bacaan doa yang beremosi mendoakan kesejahteraan beliau disampaikan. Warga majlis terpaku dengan tayangan video pendek disulam bait-bait indah dendangan puisi sepanjang beliau berkhidmat di KMPP.

Encik Kaspol Anuar bin Asmawi, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial KMPP (KEB) dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan Tuan Haji Rozaini bin Ahmad dalam menjayakan pelbagai program kelab. Beliau juga menyatakan bahawa Tuan Haji Rozaini bin Ahmad amat dekat dengan hati warga KMPP. Tuan Timbalan Pengarah, Encik Jamal Mohamad Hashim bin Adenan pula dalam ucapannya menyatakan bahawa Haji Rozaini bin Ahmad seorang pemimpin yang baik, disenangi, berilmu, dan memiliki kualiti peribadi yang mantap; beliau layak atas pelantikan itu.

Puan Siti Norlatifah Darus, pengacara majlis merumuskan Tuan Haji Rozaini bin Ahmad seorang yang dalam lembut bicara terselit tegasnya, dalam teguran ada pujian, dan setiap bait kata penuh nasihat dan hikmah agar tiada hati yang terasa. Bauran rasa jelas terpancar di wajah warga KMPP ketika Tuan Haji Rozaini bin Ahmad melambai-lambai tangan melangkah pergi.

“SELAMAT MAJU JAYA TUAN”

Don't have an account yet? Register Now!

Sign in to your account