Sambutan Semarak Merdeka 2020

KEPALA BATAS, 28 OGOS 2020 – Sambutan Semarak Merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-63 tahun  disambut meriah oleh warga KMPP pada Jumaat, 28 Ogos 2020.  Majlis bermula dengan pelepasan konvoi perarakan motosikal berkuasa tinggi daripada kumpulan NORTHERN VERSYS OWNERS GROUP ( NVOG ) dan pasukan berbasikal kolej yang terdiri daripada beberapa pelajar terpilih pada jam 2.45 petang. Konvoi bermula di hadapan Pejabat Pentadbiran KMPP dan berakhir di Dewan Al Farabi. Jalur Gemilang berkibar megah mengelilingi kolej bersama konvoi tersebut. Tepat jam 3.00 petang, nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita bergema di Dewan Al-Farabi, diikuti oleh lafaz ikrar yang diketuai oleh saudara Muhammad Nabil Asyraaf bin Mohd Sofi.

Acara diteruskan dengan ucapan aluan oleh Tuan Haji Rozaini bin Ahmad, Pengarah  Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa hanya 10% daripada 32.7 juta rakyat Malaysia yang menghayati makna kemerdekaan. Generasi baharu tidak menghayati maksud  kemerdekaan kerana mereka tidak melalui zaman keperitan menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Deklamasi sajak daripada pensyarah dan kakitangan kolej disampaikan selepas itu manakala Bicara Merdeka oleh Jemputan Khas iaitu Tn Hj Muhammad Rafie bin Yaacob, Pengetua Sek Men Keb. Kepala Batas diteruskan selepasnya. Di antara intipati bicaranya adalah;

  1. Kecintaan kepada negara adalah sebahagian dari IMAN.
  2. Pejuang-pejuang negara bersungguh-sungguh menentang penjajah walaupun mereka tidak sempat menikmati nikmat kemerdekaan.
  3. Kita ibarat golongan yang hanya memetik kelapa tanpa melalui jerit perih menanam kelapa.
  4. Generasi sekarang adalah golongan penikmat merdeka setelah negara kita dijajah selama 404 tahun.
  5. Pengisian kemerdekaan haruslah diisi dengan aktiviti berfaedah, ini bukannya masa untuk berseronok.
  6. Kita merdeka bukanlah hadiah daripada penjajah, sebaliknya penjajah menyerahkan kuasa mentadbir negara  kepada PENUTUR BAHASANYA SENDIRI dan pemilik tanahnya.

Beliau mengakhiri bicaranya dengan menyeru hadirin, JADILAH BANGSA BERTAMADUN, BERETIKA danMERDEKA serta sambutlah merdeka dengan acuan dan cara kita sendiri.

Semarak Merdeka diakhiri dengan nyanyian 3 buah lagu PATRIOTIK oleh kumpulan KOIR kolej. Acara tamat pada jam 4.30 petang.

Don't have an account yet? Register Now!

Sign in to your account